Menulis resume dalam masa 15 minit
Koleksi percuma templat resume kami yang direka dengan kepakaran akan membantu anda menonjolkan diri daripada orang lain dan selangkah lebih dekat dengan pekerjaan impian anda.
Namun begitu, mencipta CV yang berkesan adalah kemahiran khusus yang memerlukan anda untuk berfikir dan memberikan penilitian yang serius. Dalam panduan yang mendalam ini, kami akan membimbing anda dalam setiap langkah yang perlu anda ambil untuk mendapatkan resume yang bukan sahaja menonjolkan kemahiran anda, tetapi juga membezakan anda dengan para persaing anda.
Rujukan dan teknik ini akan membantu anda membina CV yang menonjol, sama ada anda seorang siswazah baru atau profesional berpengalaman yang ingin beralih kerjaya. Jadi, teruskan membaca.
Apakah Tujuan Utama Menulis Resume dengan Baik
Adalah penting untuk memahami fungsi resume sebelum kami memperkenalkan kepada anda cara terbaik untuk menulis resume yang berkesan. Resume ialah dokumen ringkas yang menyerlahkan sejarah pendidikan, pengalaman profesional dan pencapaian anda. Objektif utama resume anda adalah untuk meyakinkan bakal majikan bahawa anda adalah calon yang tepat untuk jawatan tersebut.
Untuk mencapai objektif ini, anda mesti mengubah suai resume anda untuk setiap pekerjaan tertentu yang anda mohon, menekankan kemahiran dan pengalaman anda yang berkaitan dengan keperluan peranan. Untuk itu, jom lihat contoh resume sebenar di bawah ini.
Contoh Resume yang Sebenar
[Sinu nimi]
Jenny Lou
Pembantu Pakar Digital
011-000 0000
jenny.lou@example.com
Sabah, MY
linkedin.com/in/jenny-lou
Rumusan Profesional
Pembantu Pakar Digital dengan dua tahun pengalaman dalam pengurusan laman e-dagang untuk syarikat fesyen mewah. Mempunyai kemahiran dalam pengekodan HTML, CSS dan pemasaran digital, di samping membantu menguruskan pelancaran jualan bulanan secara berkala dengan berkesan. Boleh berkomunikasi dengan berkesan dan berjaya memupuk hubungan profesional yang positif bersama orang berkepentingan. Bersedia untuk menggunakan kemahiran yang dimiliki untuk menggalas jawatan yang lebih tinggi dan mencabar.
Pengalaman Kerja
Pembantu Pakar Digital
Ads & Marks Comp.
September 2021-sekarang
- Menyediakan templat laman e-dagang dengan mempraktikan kemahiran pengekodan HTML.
- Mengetuai minggu semakan kualiti untuk memastikan produk jualan yang dilancarkan pada awal bulan bebas daripada kesilapan.
- Memastikan pelanggan mendapatkan pengalaman membeli belah yang lancar dengan memastikan tiada ralat berlaku semasa proses pembelian.
- Berhubung dengan orang berkepentingan secara berkala untuk memastikan tugasan yang diberikan disiapkan dalam tempoh yang telah ditetapkan.
- Membantu meningkatkan produktivi kerja kumpulan dengan mengagihkan tugasan sama rata.
- Mendapat pengiktirafan tugasan lima bintang dari pihak berkepentingan untuk tugasan berkaitan dengan kelancaran prestasi laman e-dagang.
Tahap Pendidikan
Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan Antarabangsa
Universiti Tengku Putra
September 2020
Sijil Kemahiran
- Sijil Pemasaran Digital dan e-Dagang Google
- Sijil Asas Pengekodan HTML
- Sijil Pengurusan CSS
Pencapaian
- Juara Pertandingan Minggu Usahawan Digital Universiti Tengku Putra
- Pelajar Contoh Fakulti Pengurusan Perniagaan
Kefasihan Bahasa
- Bahasa Inggeris
- Bahasa Melayu
- Bahasa Jepun
Format Resume Anda yang Profesional - pilih antara 3 ini
Memilih format yang sesuai adalah salah satu pilihan pertama yang perlu anda buat semasa menulis resume anda. Secara amnya, terdapat tiga format resume utama yang boleh anda pilih. Format-format ini boleh disesuaikan mengikut tahap pengalaman kerja yang anda miliki. Pemilihan format resume yang tepat boleh membantu menonjolkan lagi kelayakan anda.
Format resume yang pertama ialah kronologi terbalik. Format ini sangat mementingkan susunan perkara penting dalam urutan kronologi terbalik. Oleh itu, ia dapat menonjolkan tahap pendidikan teratas dan pengalaman kerja terkini anda. Format ini sesuai digunakan oleh semua individu tanpa mengira kelayakan anda.
Format resume kedua pula dikenali sebagai format resume praktikal. Jika anda baru sahaja menamatkan pengajian,atau fresh graduate, anda boleh mencuba format ini. Ini kerana, walaupun anda tidak mempunyai tahun pengalaman kerja yang cukup, anda boleh menekankan kemahiran berharga anda di menerusi format resume praktikal.
Format resume ketiga pula adalah gabungan ciri utama resume kronologi terbalik dan praktikal. Individu yang ingin memohon jawatan tinggi sangat digalakkan untuk menggunakan format resume ini.
Cara Menulis Bahagian Tajuk Resume
Tajuk resume merupakan bahagian pertama yang anda harus nyatakan. Kandungan utama bahagian ini ialah seperti berikut:
- nama penuh anda
- jawatan terkini
- maklumat untuk dihubungi
- tempat tinggal terkini
- pautan ke portfolio profesional anda (Linkedin)
Walaupun bahagian pertama ini nampak mudah untuk disediakan, ini tidak bermakna kesilapan remeh boleh dilakukan. Antara kesilapan umum yang sering ditemukan oleh para pegawai HR ialah seperti di bawah ini:
- menggunakan alamat e-mel yang tidak profesional
- menyertakan alamat surat menyurat
- menyertakan gambar berukuran pasport
- menyertakan pautan ke profil media sosial peribadi
Untuk itu, pastikan bahagian pertama resume ini dinyatakan di bahagia tengah atas halaman pertama resume anda. Ataupun, anda boleh meletakkannya di bahagian kiri paling atas.
Bahagian Rumusan Profesional CV dan Resume Anda
Resume anda harus mempunyai ringkasan bertulis atau pernyataan objektif yang baik dalam bahagian pertama. Kenyataan meyakinkan mengenai kebolehan anda haruslah disimpul dalam satu perenggan yang padat. Di mana, ia mampu memberikan gambaran ringkas tentang kelayakan dan objektif kerjaya anda. Kesan awal yang kuat boleh dilaksanakan dengan ringkasan atau objektif yang ditulis dengan baik yang menetapkan nada untuk seluruh resume anda.
Tetapi sebelum itu, anda pasti ingin tahu apa beza antara rumusan profesional dengan objektif resume bukan? Secara ringkas, rumusan profesional digunakan dalam resume. Manakala objektif resume digunakan dalam CV. CV lebih sesuai untuk pemohonan kerja yang berlatar belakangkan pendidikan atau kajian.
Untuk makluman, rumusan profesional berbeza sedikit dengan objektif resume dari segi tujuan utama mereka digunakan. Sebagai contoh, pemohon yang terbukti berpengalaman lebih sesuai menggunakan kenyataan rumusan profesional. Manakala pemohon yang dikenali sebagai fresh graduate pula boleh menggunakan kenyataan objektif resume.
Untuk menulis bahagian rumusan profesional dengan berkesan, ikuti langkah mudah di bawah:
- Nyatakan tahun pengalaman kerja anda
- Selitkan kata kunci yang berkaitan dengan kemahiran yang diperlukan
- Nyatakan pencapaian anda
- Nyatakan matlamat kerjaya utama anda
- Pastikan bahagian ini tidak melebih lima ayat
Bagi mereka yang ingin menggunakan objektif resume, anda perlu menyatakan tujuan utama anda ingin memohon kerja tersebut dan bagaimana dengan pengalaman yang dimiliki, walaupun tidak relevan boleh membantu anda berjaya dalam kerjaya yang diimpikan selama ini.
Serlahkan Pengalaman Kerja Anda
Bahagian pengalaman kerja membentuk sebahagian besar resume anda. Anda akan menerangkan latar belakang profesional anda di sini, termasuk jawatan terdahulu yang disandang, tarikh perkhidmatan, dan tugas utama. Gunakan kata kerja tindakan dan berikan nombor bila-bila masa anda boleh untuk menyerlahkan pencapaian anda dalam bidang ini. Ini membantu bakal majikan dalam memahami pengaruh yang anda miliki dalam jawatan sebelumnya.
Anda perlu memerincikan sejarah kerja anda dengan menerangkan laluan kerjaya. Ini merangkumi maklumat penting seperti huraian kerja anda, tempoh masa anda berada dalam setiap jawatan, dan tugas utama yang anda dipertanggungjawabkan kepada anda pada masa itu. Ini seakan-akan menceritakan perjalanan profesional anda mengikut bab.
Seterusnya, cuba gunakan kata kerja dan angka atau statistik. Ia memerlukan lebih daripada sekadar menyenaraikan tugas anda untuk menjadikan bahagian pengalaman kerja anda menonjol. Mulakan setiap titik peluru anda dengan kata kerja tindakan untuk menunjukkan inisiatif dan kejayaan anda. Daripada mengatakan "Bertanggungjawab menguruskan pasukan," anda boleh berkata "Berjaya mengetuai 2 pasukan dengan 10 ahli." Kenyataan sebegini dapat memberikan impak yang lebih mendalam, di samping menyerlahkan pencapaian dan pengaruh.
Kemudian, kenal pasti apa yang diutamakan oleh bakal majikan anda untuk jawatan yang dipohon. Tidak semua pengalaman profesional ditulis dengan cara yang sama sama, dan tidak semua pengalaman profesional yang diperlukan anda miliki. Oleh itu, sangat penting untuk menggunakan pendekatan strategik dan pintar. Tekankan pengalaman yang mempunyai hubungan langsung dengan pekerjaan yang ada.
Kaedah taktikal ini mencapai dua matlamat: pertama, ia memastikan bahawa resume anda selaras dengan keperluan pekerjaan yang tepat, yang akan meningkatkan daya tarikan anda sebagai calon. Kedua, ia menghalang resume anda daripada menjadi terlalu panjang atau tidak tersusun dengan memastikan ia padat dan mudah difahami.
Kesimpulannya, bahagian pengalaman kerja anda adalah jantung resume anda kerana ia menceritakan kisah perkembangan kerjaya anda dan menyerlahkan pencapaian, kebolehan, dan pertumbuhan anda. Gunakan kata kerja tindakan dan mengukur kejayaan anda untuk menjadikannya menonjol. Ini akan membolehkan majikan yang berpotensi untuk memahami dengan tepat apa kesan anda dalam kedudukan masa lalu anda.
Tonjolkan Tahap Pendidikan Anda
CV atau resume anda juga harus merangkumi maklumat mengenai latar belakang pendidikan anda dan sebarang kelayakan yang berkaitan. Senaraikan ijazah, univeristi yang dihadiri, tarikh tamat pengajian, dan apa-apa anugerah penghormatan atau kecemerlangan yang mungkin anda terima. Komponen pendidikan boleh menjadi lebih penting terutamanya bagi mereka yang baru menamatkan pengajian atau mempunyai sedikit pengalaman kerja.
Cara yang betul untuk menulis bahagian ini ialah dengan menggunakan susunan kronologi terbalik. Anda harus menyatakan tahap pendidikan tertinggi anda, sesuai dengan kelayakan yang diminta oleh bakal majikan anda. Anda boleh menyenaraikan lebih daripada satu sijil atau tahap akademik anda. Tetapi, tahap pendidikan rendah mungkin tidak perlu dinyatakan kerana ia tidak relevan terutamanya jika anda memohon kerja yang memerlukan kemahiran tinggi.
Kemahiran yang Wajib Anda Nyatakan
Selain daripada menyatakan pengalaman kerja, menonjolkan kemahiran anda di dalam CV atau resume adalah penting. Seidakan bahagian khusus untuk bakat atau anda juga boleh selitkannya ke dalam bahagian pengalaman kerja anda. Dengan cara ini, anda boleh membantu resume anda dtiapis dengan berjaya oleh sistem penjejakan pemohon (ATS) kerana sistem ini boleh mencari kata kunci daripada huraian kerja anda.
Terdapat dua kemahiran utama yang harus anda nyatakan. Kemahrian tersebut ialah kemahiran teknikal dan juga kemahiran insaniah. Kemahiran teknikal ialah mana-mana kebolehan yang anda miliki untuk mengendalikan sesuatu tugasan menggunakan perisian, mesin atau sistem. Sebagai contoh, kemahiran pengekodan.
Kemahiran insaniah pula merujuk kepada keupayaan anda dalam memahami kepintaran emosi diri sendiri dan orang lain. Ini turut dikenali sebagai EQ. Antara kemahiran insaniah yang harus dimiliki oleh setiap orang ialah menepati masa. Kemahiran komunikasi juga penting bagi membolehkan anda menyuarakan pendapat dan membina hubungan profesional yang baik dengan majikan dan orang berkepentingan.
Baca Semula dan Semak Resume Anda
Perkara utama yang perlu anda lakukan setelah siap menulis atau menaip resume anda ialah, baca semula apa yang telah anda sampaikan. Semak jika ada kesalahan ejaan atau tatabahasa. Kesilapan sebegini akan memberikan anda imej yang kurang profesional. Ingat, resume ialah alat utama yang digunakan untuk menawan hati para perekrut.
Cara Mudah Menulis Resume yang Profesional
Sebelum kita mengakhiri panduan menulis resume ini, kami ingin berkongsi dengan anda tips dan cara mudah yang boleh anda praktikan dalam menyediakan resume yang mudah dibaca dan tampak kemas. Jadi, mari lihat titik peluru di bawah ini:
- kenal pasti kata kunci kerja yang dipohon
- guna stail fon Tahoma, Arial, Times New Roman atau Helvetica
- saiz fon dalam 10 pts ke 12 pts sahaja
- jangan tulis resume melebih 2 muka surat
- guna warna fon gelap sahaja dan tidak berwarna-warni
Surat iringan untuk membantu pemohonan kerja anda
Anda digalakkan untuk menyertakan surat iringan bersama dengan resume yang akan anda hantar. Surat iringan merupakan kenyataan rasmi anda mengapa anda layak untuk menjawat jawatan yang diiklankan. Kandungan surat ini merupakan huraian yang lebih terperinci dari resume anda.
Untuk menulis surat ini, anda boleh memuat turun templat resume kami bagi memudahkan anda. Tetapi, pastikan anda menggunakan format surat tidak rasmi. Alamatkan surat iringan ini kepada bakal majikan anda. Jangan teragak-agak untuk menonjolkan diri anda dengan menggunakan kenyataan yang berkarisma dan menyakinkan.
Soalan Lazim Berkaitan dengan Cara Menulis Resume
Di bahagian seterusnya ini, kami akan cuba menjawab persoalan yang sering diaju oleh para pemohon kerja berkaitan dengan cara membuat resume yang baik. Untuk itu, sila rujuk bahagian seterusnya ini untuk membantu anda.
Bahasa yang sesuai digunakan untuk menulis resume bergantung kepada syarikat yang akan menemu duga anda. Selalunya, syarikat antarabangsa akan lebih mengutamakan resume yang ditulis di dalam bahasa inggeris. Tetapi jika anda ingin bekerja dalam sektor kerajaan, resume yang ditulis dalam bahasa Melayu sudah memadai.
Tidak semestinya. Tetapi jika ada, anda boleh menyatakannya di bahagian paling bawah resume anda.