Menulis resume dalam masa 15 minit
Koleksi percuma templat resume kami yang direka dengan kepakaran akan membantu anda menonjolkan diri daripada orang lain dan selangkah lebih dekat dengan pekerjaan impian anda.
Jangan bimbang! Teruskan membaca artikel ini untuk mendapatkan panduan terperinci tentang cara menulis permohonan kerja menggunakan bahasa Inggeris.
Antara yang kami bincangkan dalam artikel ini ialah:
- Format terbaik menulis surat iringan dalam bahasa Inggeris beserta contoh yang anda perlu ikut untuk menarik perhatian majikan.
- Perkara yang perlu dielakkan untuk ditulis di dalam surat iringan bahasa Inggeris supaya anda berjaya mendapatkan pekerjaan idaman anda.
- Tips-tips berguna menulis permohonan kerja menggunakan bahasa Inggeris yang dapat menonjolkan kesungguhan dan profesionalisme anda dalam memohon kerja.
Contoh surat iringan permohonan kerja dalam bahasa Inggeris
Berikut adalah contoh surat iringan. Anda boleh mengubah suai dengan memasukkan maklumat berkaitan diri anda dan jawatan yang dipohon.
Cara menulis surat iringan permohonan kerja dalam bahasa Inggeris
Surat iringan kerja adalah peluang pertama anda untuk meninggalkan kesan yang baik kepada majikan. Sekiranya ianya ditulis dengan baik, ia boleh membantu meningkatkan peluang anda untuk mendapatkan temuduga dan seterusnya mendapat pekerjaan idaman. Berikut merupakan format yang perlu anda ikut:
Maklumat peribadi dan tarikh
Pada bahagian atas surat, nyatakan nama penuh, alamat, nombor telefon, dan alamat e-mel anda. Di bawah maklumat peribadi, sertakan tarikh surat tersebut ditulis. Ini memastikan bahawa majikan mempunyai semua maklumat penting untuk menghubungi anda dengan mudah. Pastikan format maklumat peribadi jelas dan konsisten untuk memberikan imej profesional.
Elakkan daripada:
- Menggunakan e-mel tidak formal seperti cutiepie99@example.com atau legend2024@example.com.
- Format tidak konsisten atau tulisan yang terlalu kecil.
Maklumat majikan
Sertakan maklumat majikan, termasuk nama syarikat, alamat, dan nama penerima surat jika diketahui. Pastikan anda melakukan penyelidikan terlebih dahulu untuk mengetahui nama penerima surat. Jika tidak pasti nama orang yang bertanggung jawab dalam proses pengambilan kerja, alamatkan kepada "Hiring Manager" ataupun "Talent Search Committee".
Elakkan daripada:
- Tidak menyebut nama syarikat yang betul atau menggunakan alamat generik seperti "To whom it may concern."
- Salah mengeja nama penerima atau syarikat.
Pembukaan Surat (“Salutation”)
Salam pembukaan surat iringan harus ditujukan secara khusus kepada orang yang bertanggungjawab dalam pengambilan pekerja. Penggunaan salam yang bersesuaian adalah penting untuk memberikan gambaran pertama yang baik kepada bakal majikan. Ia mencerminkan sikap profesionalisme dan rasa hormat anda kepada penerima surat.
Elakkan daripada:
- Menggunakan pembukaan terlalu tidak formal seperti "Hi", "Hey", atau "Hello".
- Elakkan menulis "To Whom It May Concern" kecuali anda benar-benar tidak mempunyai maklumat penerima.
Pengenalan
Dalam perenggan pertama, nyatakan dengan jelas tujuan anda menulis surat tersebut. Sebutkan jawatan yang anda mohon dan dari mana anda mendapat tahu tentang peluang tersebut. Nyatakan juga dengan ringkas mengapa anda tertarik untuk memohon jawatan itu.
Elakkan daripada:
- Tidak menyatakan jawatan spesifik atau terlalu umum.
- Terlalu banyak pengenalan tanpa fokus.
Perenggan Utama
Di bahagian ini, terangkan kelayakan anda yang relevan dengan jawatan tersebut. Tekankan pengalaman kerja, kemahiran yang anda miliki, dan bagaimana anda boleh menyumbang kepada syarikat. Hubungkan pengalaman kerja anda dengan keperluan jawatan yang diiklankan. Gunakan contoh yang konkrit untuk menunjukkan pencapaian anda.
Elakkan daripada:
- Menyenaraikan kemahiran secara rawak tanpa konteks.
- Tidak memberikan contoh yang menjelaskan pencapaian.
Perenggan Ketiga (“Penutupan”)
Nyatakan kesediaan anda untuk ditemuduga dan berikan maklumat untuk dihubungi. Anda juga boleh menyatakan minat anda untuk membincangkan lebih lanjut bagaimana minat tersebut boleh memberikan manfaat kepada syarikat tersebut. Sertakan cadangan waktu untuk dihubungi, jika sesuai.
Elakkan daripada:
- Meminta pekerjaan secara langsung
- Menggunakan nada terlalu mendesak
Penutup Surat
Akhiri surat dengan ucapan formal seperti "Yours sincerely" atau "Yours faithfully". Penutup ini menunjukkan profesionalisme dan kesungguhan calon yang membantu mencipta kesan baik pada majikan. Selepas itu, ia perlu diikuti dengan nama penuh anda. Jika surat dihantar secara fizikal, turunkan tandatangan dan sekiranya anda menghantar surat melalui e-mel, anda juga boleh menambah tandatangan digital.
Elakkan daripada:
- Penutup yang terlalu kasual seperti "Cheers" atau "Best wishes."
- Tidak menulis nama penuh anda.
Perkara yang perlu dielakkan semasa menulis surat iringan permohonan kerja
Selain daripada apa yang perlu dimasukkan, terdapat juga beberapa perkara yang perlu dielakkan dalam surat permohonan kerja:
Mengulang kandungan resume: Surat iringan permohonan kerja bukanlah tempat untuk mengulang secara tepat apa yang sudah ada dalam resume. Gunakan surat ini untuk mengembangkan sedikit maklumat tersebut, tetapi jangan ulang keseluruhannya.
Nada terlalu memohon-mohon: Sampaikan keinginan untuk bekerja dengan yakin, tetapi elakkan kelihatan terlalu terdesak. Fokuskan pada nilai yang anda boleh bawa ke syarikat, bukan pada betapa terdesaknya anda memerlukan pekerjaan itu.
Menyertakan maklumat yang tidak relevan: Pastikan semua maklumat dalam surat tersebut relevan dengan jawatan yang dimohon. Elakkan menyertakan hobi atau maklumat peribadi yang tidak berkaitan.
Kesimpulan
Menulis permohonan kerja dalam bahasa Inggeris adalah satu kemahiran yang boleh dipelajari dan ditingkatkan dengan latihan. Surat iringan yang baik boleh membuka pintu kepada peluang pekerjaan yang lebih luas dan meningkatkan peluang anda untuk menarik perhatian majikan.