Menulis resume dalam masa 15 minit
Koleksi percuma templat resume kami yang direka dengan kepakaran akan membantu anda menonjolkan diri daripada orang lain dan selangkah lebih dekat dengan pekerjaan impian anda.

Sekiranya anda akan mengadiri temuduga kerja tidak lama lagi, baca artikel ini sampai habis untuk mengelakkan kegagalan dalam temu duga. Antara yang terkandung dalam artikel ini:
- Gugup atau tidak menjawab soalan temu duga dengan baik akan memberi keraguan kepada penemuduga tentang kredibiliti anda untuk menyandang jawatan yang ditawarkan.
- Tempoh temu duga yang terlalu singkat atau kurang soalan daripada penemuduga adalah petanda yang temu duga tidak berjalan lancar.
- Tiada perbincangan tentang bila anda boleh mula bekerja atau apa langkah seterusnya dalam proses pengambilan boleh menjadi petanda bahawa temu duga tersebut gagal.

Anda gagal menjawab soalan penting
Salah satu petanda anda akan gagal dalam temu duga ialah apabila anda gagap atau memberikan jawapan yang tidak bagus untuk soalan penting yang diajukan. Soalan kritikal sering kali berkait rapat dengan keperluan utama jawatan yang dipohon. Jika anda gagal memberi jawapan yang jelas, meyakinkan, atau tepat, penemuduga mungkin menganggap anda tidak bersedia atau tidak cukup sesuai untuk peranan tersebut.
Lebih membimbangkan lagi, penemuduga mungkin secara terbuka menyatakan keraguan mereka terhadap anda, tentang jawapan yang anda berikan, kandungan dalam resume, atau tahap pengalaman anda. Ini boleh menjadi petanda buruk, namun ia juga membuka ruang untuk anda memberi penjelasan dan menghapuskan keraguan tersebut.
Tempoh temu duga terlalu pendek
Secara purata, sesi temu duga biasanya berlangsung selama lebih kurang 30 minit. Jika sesi temu duga tamat lebih awal dari jangkaan, contohnya hanya berlangsung 5 hingga 10 minit, ia boleh bermaksud dua perkara: sama ada anda tidak meyakinkan penemuduga, atau sesi itu hanya untuk saringan awal. Walaupun temu duga yang singkat tidak semestinya mencerminkan kualiti yang buruk, ia tetap wajar diperhatikan, terutamanya jika disertai petanda-petanda negatif lain.
Bahasa tubuh penemuduga yang negatif
Bahasa tubuh penemuduga boleh memberikan petunjuk penting tentang bagaimana sesi temu duga sedang berlangsung. Sekiranya penemuduga memberikan bahasa tubuh negatif seperti mengelak daripada melakukan kontak mata, kerap melihat jam, atau bertutur dalam nada suara yang hambar, mereka mungkin memberi isyarat yang mereka tidak berminat dengan anda.

Temu duga dijalankan secara tergesa-gesa
Sesi temu duga yang dijalankan dengan tergesa-gesa sering menjadi petanda bahawa anda mungkin tidak akan menerima tawaran kerja. Dalam situasi sebegini, penemuduga mungkin tidak memberi ruang kepada anda untuk menjawab soalan dengan lengkap, atau anda merasakan mereka tidak benar-benar mendengar jawapan anda. Ini mungkin berlaku kerana mereka telah mempunyai calon pilihan, atau sedang tertekan dengan komitmen kerja lain.
Sedikit soalan mengenai pengalaman atau kemahiran anda
Sekiranya penemuduga tidak memberikan ruang untuk anda berkongsi tentang kemahiran dan pengalaman anda, ini mungkin menandakan mereka tidak melihat anda sebagai calon yang sesuai berdasarkan jawapan awal anda dalam sesi temu duga. Sebaliknya, penemuduga yang berminat untuk mengenali anda dengan lebih mendalam biasanya akan bertanya pelbagai soalan berkaitan latar belakang dan kemahiran anda terutamanya jika ia selari dengan kehendak jawatan yang ditawarkan.
Tiada keserasian dengan penemuduga
Setiap penemuduga mempunyai gaya yang berbeza semasa menjalankan sesi temu duga. Ada yang cenderung mewujudkan suasana santai dan mesra, manakala yang lain mungkin lebih suka pendekatan yang formal dan serius. Sekiranya anda merasakan suasana temu duga hambar, penuh senyap yang janggal, atau penemuduga memberi jawapan yang sangat ringkas apabila anda mengajukan soalan, ini memberi petanda kurangnya keserasian antara anda dan penemuduga yang akan membawa kegagalan sesi temuduga itu.
Namun begitu, tanda-tanda ini secara bersendirian mungkin menandakan bahawa penemuduga tersebut sememangnya seorang yang pendiam atau serius secara semula jadi.
Tiada soalan susulan daripada penemuduga
Seorang penemuduga yang benar-benar berminat biasanya akan meminta anda menghuraikan jawapan yang diberikan kerana mereka ingin mendengar lebih lanjut tentang pengalaman, kemahiran atau pandangan anda. Jika penemuduga hanya mendengar secara pasif tanpa memberikan komen atau soalan susulan, ini mungkin menandakan mereka tidak melihat anda sebagai calon yang sesuai.

Tiada soalan mengenai kesediaan anda untuk mula bekerja
Sekiranya penemuduga tidak bertanya bila anda boleh mula bekerja, ini mungkin petanda bahawa sesi temu duga tidak berjalan dengan baik. Namun, ia juga boleh berlaku kerana penemuduga terlepas pandang, atau maklumat tersebut telah dinyatakan dalam resume anda.
Tiada perbincangan mengenai langkah seterusnya
Apabila penemuduga melihat anda sebagai calon yang berpotensi, mereka biasanya akan menerangkan langkah-langkah seterusnya dalam proses pengambilan pekerja seperti sesi temu duga kedua, ujian penilaian, atau tempoh maklum balas. Jika sesi berakhir tanpa sebarang perbualan tentang perkara ini, ia mungkin petanda bahawa anda telah gagal dalam temu duga.